Peranan dan Kepentingan Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan dan alat penyatuan nilai kebangsaan
PENGENALAN
Bahasa Melayu ialah
sebuah Bahasa yang digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia dan yang berdekatan
dengannya di Asia Tenggara. Bahasa Melayu ini merupakan Bahasa Kebangsaan di
Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Selain daripada keempat-empat negara
yang disebutkan, Bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di
negara lain. Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai
perbezaan dari segi sebutan dan kosa kata nya. Penggunaan Bahasa Melayu di
negara-negara lain berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa
Kebangsaan merupakan sebuah Bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan
sesuatu bangsa atau negara secara unik. Bahasa Kebangsaan selalunya digunakan
untuk wacana politik dan undang-undang. Sesetengah negara mempunyai lebih dari
satu Bahasa kebangsaan dan tak semestinya Bahasa kebangsaan ini boleh jadi sama
dengan Bahasa rasmi kerana Bahasa Kebangsaan juga mungkin berbeza dengan Bahasa
umum yang digunakan rakyat negara tersebut. Ada pepatah Melayu berbunyi “Maju
Bahasa Majulah Bangsa” dan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Maksud kata-kata ini memang
ada kebenarannya yang tidak dapat kita nafikan. Konsep “Satu Bahasa Satu
Bangsa” membolehkan usaha-usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai
penyatuan rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan sebagai sebuah Bahasa yang
dapat mencerminkan masyarakat nya yang berdaulat dan berjaya. Walaupun negara
kita dijajah kuasa asing, ia tidak langsung menjejaskan penggunaan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa lingua franca. Sebagai Bahasa Kebangsaan negara yang
berdaulat, Bahasa Melayu ini berperanan atau berfungsi sebagai bahasa rasmi,
Bahasa perpaduan, Bahasa pengantar, Bahasa ilmu dan banyak lagi peranan penting
yang lain. Pemahaman terhadap fungsi Bahasa Melayu ini dapat mewujudkan persefahaman
pemikiran dalam kehidupan seharian.
BAHASA MELAYU SEBAGAI
BAHASA PENGANTAR ILMU PENGETAHUAN
Bahasa pengantar
didefinisikan sebagai sebuah Bahasa yang ditetapkan oleh sesebuah negara
sebagai Bahasa yang digunakan untuk system Pendidikan. Sebagai contoh, jika
kita lihat kan di sekolah-sekolah kebangsaan, mereka menggunakan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa pengantar. Sekolah jenis kebangsaan cina atau tamil, mereka
menggunakan Bahasa mereka sendiri sebagai Bahasa pengantar. Dengan tercatatnya
dasar penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar dalam Penyata Razak
(1956), usaha untuk mencapai tujuan ini telah mula dijalankan. Laporan Razak
(1956) Bahasa Melayu dijadikan Bahasa kebangsaan dan menjadi Bahasa pengantar
utama khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang
berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai
dialek atau Bahasa. Sementelahan itu, Bahasa Melayu dapat membantu pembentukan
jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan Bahasa komunikasi yang mudah
difahami. Kepentingan kedudukan Bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran
diperkuatkan lagi dalam system peperiksaan dengan menjadikan kelulusan dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan sijil. Penyata Razak telah menyarankan bahawa
bahasa Melayu boleh dijadikan satu mata pelajaran yang penting dalam latihan
perguruan. Bahasa Melayu telah dijadikan mata pelajaran wajib di dalam kursus
perguruan sejak tahun 1957. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu telah menjadi
bahasa pengantar utama untuk kursus perguruan sekolah rendah dan mulai tahun
1973, semua maktab perguruan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dalam hampir semua kursus. Dewasa ini pelajar yang
mengikuti pengajian di universiti diwajibkan mendapat sekurang-kurangnya
pangkat lulus dalam bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia,
melainkan Universiti Teknologi Malaysia yang memerlukan kelulusan
sekurang-kurangnya taraf kepujian. Dalam bidang pengajaran, bahasa Melayu digunakan
sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran tertentu, dan juga diajar sebagai
satu mata pelajaran. Manakala, dalam bidang petadbiran pula, Bahasa Melayu
digunakan sepenuhnya. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan
kemuncak bagi menentukan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai Bahasa
pengantar ilmu pengetahuan. Tuntasnya, menurut Nik Safiah Karim, kemajuan
pendidkan dalam Bahasa Melayu telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan
menubuhkan sekolah menengah berbahasa pengantar Bahasa Melayu. Akhirnya
terlaksanalah Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa pengantar utama di institusi pengajian tinggi.
BAHASA MELAYU SEBAGAI ALAT PENYATUAN NILAI KEBANGSAAN
Bahasa Melayu digunakan
oleh kaum-kaum bukan Melayu untuk berkomunikasi sesama mereka. Contohnya, orang
India dan Cina yang menetap di Malaysia sudah terbiasa dengan Bahasa Melayu,
jadi mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa melayu. Bahasa Melayu menjadi
bahasa yang menyatupadukan rakyat pelbagai kaum. Tanpa komunikasi yang baik,
ketegangan kaum akan berlaku. Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu amat penting
untuk komunikasi antara kaum akan berjalan lancar dan sebarang ketegangan dapat
dihindari. Sepanjang Bahasa Melayu digunakan sebagai Bahasa lingua franca,
Bahasa Melayu berperanan sebagai satu alat perpaduan yang dapat menyatupadukan
kaum-kaum dan suku-suku bangsa di Nusantara. Penerimaan Bahasa Melayu sebagai
sebuah Bahasa rasmi dan Bahasa kebangsaan oleh semua kaum merupakan suatu tanda
bahawa mereka menerima konsep Bahasa melayu yang menyatupadukan masyarakat
Malaysia. DEngan itu, mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan kepada semua
pelajar pada semua peringkat sekolah. Oleh kerana itu, Bahasa Melayu bertindak
sebagai alat yang menghubungkan penutur Bahasa dari pelbagai bangsa dan
berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia.
Kesimpulannya, Bahasa
Melayu memainkan peranannya sebagai Bahasa yang unggul sebaik sahaja diangkat
menjadi Bahasa kebangsaan , Bahasa rasmi, Bahasa pengantar dan Bahasa yang
menjadi alat penyatu kebangsaan. Benarlah, Bahasa ini menjadi Bahasa utama dan
menjadi teras perpaduan di Malaysia.
Kealfaan Melayu
ReplyDeletekita kena memartabatkan bahasa kebangsaan kita
Delete